Berita Semasa

Pulau Pinang isytihar demam babi Afrika bencana negeri

NIBONG TEBAL – Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengisytiharkan penyakit demam babi Afrika di negeri itu sebagai bencana selepas lima lagi ladang ternak babi dijangkiti penyakit itu.

Perkembangan itu menjadikan tujuh ladang babi komersial iaitu lima di Seberang Prai dan dua di Seberang Prai Tengah dijangkiti kes African Swine Flu (ASF) di negeri itu.

Ekoran itu, Kon Yeow memberitahu kira-kira 25,000 babi dari tujuh ladang berkenaan akan dimusnahkan bagi mengelak jangkitan.

“Pengesahan penyakit dibuat melalui ujian Polimerase Chain Reaction (PCR) yang dijalankan oleh Makmal Veterinar Zon Utara Bukit Tengah bermula 4 hingga 12 Januari lepas ke atas sampel babi dari ladang-ladang ternak babi di negeri ini sebelum mendapati tujuh daripadanya dijangkiti ASF.

“Proses memusnahkan haiwan di ladang tersebut dijalan secara stamping out policy dan akan mengambil masa beberapa minggu.

“Setakat hari ini, sebanyak 929 ekor babi iaitu dari ladang pertama yang dikenal pasti dijangkiti ASF telah dimusnahkan,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Kon Yeow berkata, antara cabaran yang dihadapi dalam proses pelupusan haiwan itu pada ketika ini adalah tapak kawasan yang terhad.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri akan menyediakan kawasan pelupusan di tanah berhampiran jalan raya dan lebuh raya negeri.

Beliau pada masa sama menyeru orang ramai supaya tidak panik dengan situasi itu kerana ASF tidak menjangkiti manusia.

Beliau turut menggesa semua pengusaha ladang babi supaya melaporkan kematian haiwan ternakan mereka untuk ujian dijalankan.

“Bagi mengesan jangkitan dan perebakan penyakit ASF di kawasan berhampiran, pihak berkuasa menjalankan aktiviti pemantauan, pemeriksaan klinikal dan persampelan bagi kesemua ladang ternakan babi dalam radius lima kilometer dari ladang yang terlibat,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button