Pemandu treler rempuh rumah hingga sebabkan kematian dua beradik, direman 4 hari
PEKAN – Pemandu treler yang merempuh sebuah rumah hingga menyebabkan dua beradik meninggal dunia di Kilometer 5, Jalan Pekan-Rompin dekat Kampung Ketapang Hilir, semalam, direman selama empat hari.
Perintah reman ke atas pemandu berusia 40 tahun itu dikeluarkan Majistret Melody Woon Sze Mun, hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 4.15 pagi itu, treler dipandu suspek yang membawa muatan siling kapur dari arah Johor Bahru, Johor menghala ke Kuantan dipercayai hilang kawalan di selekoh kiri lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh rumah berkenaan.
Tragedi itu menyebabkan Nurnazatul Fasiha Nasruddin, 32, meninggal dunia di lokasi manakala adiknya, Mohd Waldon Faris, 21, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pekan.
Ibu bapa mangsa, Norrulaini Mohd Hassan, 54, dan Nasruddin Othman, 60, serta rakan Mohd Waldon Faris, Muhammad Gabriel Miqhael Muhammad Faidzal, 19, yang turut berada dalam rumah berkenaan cedera dan turut dirawat di Hospital Pekan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.