Olimpik Paris 2024: Carini minta maaf kepada Imane Khelif, akui kesilapan
PARIS – Petinju wanita Itali, Angela Carini memohon maaf kepada Imane Khelif atas tindakannya yang enggan bersalaman selepas memutuskan untuk tidak meneruskan pertarungan dalam aksi Olimpik Paris 2024 baru-baru ini.
Carini dan lawan Khelif seterusnya, Lajos Berko dari Hungary berkata, mereka akan melupakan kontroversi jantina itu dan menerima petinju Algeria itu sebagai pesaing.
“Semua kontroversi ini membuatkan saya sedih. Saya juga simpati terhadap lawan saya. Jika IOC kata dia boleh bersaing, saya menghormati keputusan itu.
“Ia (menarik diri) bukan sesuatu yang saya rancang. Saya ingin memohon maaf kepadanya (Khelif) dan semua orang. Saya marah ketika itu kerana impian Olimpik saya berkecai,” kata Carini dalam kenyataan terbarunya.
Dalam pertarungan tersebut, timbul kontroversi apabila jantina Khelif dari Algeria itu dipersoalkan kerana didakwa mempunyai kromosom XY oleh Persatuan Tinju Antarabangsa (IBA) sebelum ini.
Walaubagaimanapun, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) menarik semula pengiktirafan terhadap IBA tahun lalu, sekali gus menguruskan sendiri pertandingan tinju di Paris 2024.
Khelif dilahirkan sebagai seorang wanita seperti dinyatakan dalam pasportnya yang menjadi faktor utama IOC membenarkannya untuk bertanding dalam kategori wanita.
Selain Imane Khelif, IOC juga turut membenarkan atlet tinju Taiwan, Lin Yu-ting yang didakwa memiliki ‘kelebihan’ sama turut dibenarkan untuk bertanding di Sukan Olimpik.