Paris 2024: Pearly Tan-M.Thinaah cipta sejarah, mara ke separuh akhir
PARIS – Pasangan beregu wanita negara, Pearly Tan-M.Thinaah mencipta sejarah apabila mara perlawanan ke separuh akhir selepas menewaskan pasangan dari Korea Selatan, Kim So-yeong-Kong Hee-yong sebentar tadi.
Dalam aksi yang berlangsung di Porte de La Chapelle Arena itu pasangan nombor 13 dunia itu menang bergaya dengan keputusan straight set 21-12, 21-13 hanya dalam tempoh 42 minit.
Lebih manis kejayaan itu hadir daripada penampilan pertama mereka di Sukan Olimpik dan selangkah lagi untuk meraih pingat dalam temasya ini.
Terdahulu, Pearly Tan-M. Thinaah tidak menunggu lama di set pertama apabila meninggalkan jauh pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo itu sebelum menamatkan set itu dengan keputusan 21-12.
Di set kedua, pasangan Korea Selatan mula mendapat rentak dan saling bertukar mata sehingga pasangan negara berjaya meraih mata ke-11 terlebih dahulu.
Selepas itu, ketangkasan pasangan negara itu tidak dapat lagi dikejar oleh pasangan Korea itu yang sering melakukan kesilapan mudah sebelum tewas 21-13.
Pearly Tan-M.Thinaah selepas ini dijadualkan bertemu pasangan nombor satu dunia, Jia Yifan-Chen Qingchen yang mudah menewaskan pasangan adik beradik dari Bulgaria, Stefani Stoeva-Gabriela Stoeva 21-15 dan 21-18 dalam aksi suku akhir sebentar tadi.