Lesen kawal selia media sosial: PM tegaskan kebebasan bersuara tetap wujud
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan peraturan di media sosial dan perkhidmatan pemesejan internet yang bakal diperkenalkan kerajaan adalah bagi mewujudkan persekitaran maya yang selamat untuk rakyat Malaysia.
Perdana Menteri berkata, meskipun mendapat kritikan pelbagai pihak, penguatkuasaan terhadap peraturan tersebut penting bagi memerangi jenayah siber yang dilihat semakin membimbangkan di negara ini.
“Media sosial digunakan untuk mendera orang sehinggakan ada yang menbunuh diri dan ada juga yang salah guna untuk memperalatkan anak-anak kecil untuk urusan dagang seks adakah ini diwajarkan?
“Ada berlaku penipuan (dalam talian) yang mencecah RM2.5 bilion maknanya orang ditipu menggunakan kemudahan media sosial.
“Bila kita kata mahu sekat, mereka kata jangan sekat kebebasan. Apakah kebebasan untuk menipu? Apakah kebebasan untuk mencuri atau mendera orang sehingga membunuh diri? Sebab itu soal keselamatan diri ini harus menjadi keutamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sebelum merasmikan Bulan Keselamatan Negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Sabtu lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan satu kerangka baharu bagi mengawal selia perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet akan diperkenalkan pada 1 Ogos ini dan mula dikuatkuasakan pada 1 Januari 2025.
Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bakal menjadi mandatori kepada penyedia platform media digital jika mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar.
Kegagalan memperoleh lesen ini adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan perundangan MCMC.
Peraturan ini berkuat kuasa sepenuhnya mulai 1 Januari 2024 selepas satu kerangka kawal selia baharu ke atas perkhidmatan media sosial dan pesanan internet diperkenal Selasa ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi serta Kementerian Digital memberi jaminan terhadap aspek keselamatan terhadap pengenalan peraturan dan kawal selia baharu bagi media sosial.
“Kita telah perkenalkan Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Siber. Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital telah memberikan tumpuan supaya keselamatan bagi rakyat dalam dan luar negara (terjamin),” ujarnya lagi.