YES! Rock The School persiapkan 600 pelajar sekolah Pahang
Kemahiran asas demi kerjaya masa hadapan
KUANTAN – Program YES! Rock The School merupakan satu program penting dalam membangunkan bakat muda negara bagi masa depan.
Menurut Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah TalentCorp, Mohd Khuzzan Abu Bakar, program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang pilihan kerjaya masa depan, membekalkan pelajar dengan kemahiran yang diperlukan oleh industri melalui inisiatif TalentCorp seperti Senarai Pekerjaan Kritikal (MyCOL) dan MyMahir Future Skills Talent Council (FSTC).
Pada masa yang sama, ia untuk membangunkan pemimpin masa depan melalui inisiatif MyNext dan juga memastikan pelajar lebih bersedia untuk pasaran kerja yang pesat berubah.
“Dengan usaha kolaboratif seperti ini, TalentCorp terus memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang kemahiran dan memupuk tenaga kerja berkemahiran tinggi yang kompetitif di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada masjlis penutup program berkenaan, di sini hari ini.
Hadir sama, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan negeri, Datuk Seri YB Ir. Mohd. Soffi Abd. Razak.
Program unik yang dijalankan selama dua hari ini dianjurkan secara bersama di antara TalentCorp, Kementerian Pendidikan (KPM) dan kerajaan negeri Pahang.
Ia direka untuk mempersiapkan seramai 600 orang pelajar sekolah dari pelbagai daerah termasuk Kuantan, Temerloh, Maran dan Pekan dengan kemahiran asas untuk kerjaya masa depan mereka dan laluan kerjaya.
Selain itu, program ini turut menekankan kepentingan kemahiran STEM dan TVET yang penting untuk industri semasa dan masa depan kepada bakat muda ini dan hala tuju selepas mereka tamat sekolah
Seterusnya, program sama akan turut diadakan di Johor Bahru pada Ogos, diikuti dengan Pulau Pinang pada September depan.