Berita Semasa

Tarikh pengumuman SPM 2023 kekal 27 Mei – Fadhlina

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan tarikh pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 kekal pada 27 Mei ini.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan (KPM) mendengar pandangan banyak pihak berhubung isu ini dan telah mempertimbangkan keputusan yang terbaik untuk kepentingan semua.

“KPM mempunyai pandangan yang sama dan sejajar dengan banyak pihak perihal kebajikan dan kesejahteraan guru.

“KPM juga mendengar pandangan banyak pihak berhubung isu ini dan telah mempertimbangkan keputusan yang terbaik untuk kepentingan semua,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini pelbagai pihak meminta KPM mengubah tarikh pengumuman itu bagi mengelak waktu cuti sekolah.

Dalam pada itu katanya, meskipun tarikh itu dikekalkan, guru-guru boleh terus menjalankan aktiviti yang telah dirancang semasa musim cuti sekolah ini.

“KPM khasnya di bawah kelolaan Lembaga Peperiksaan memerlukan masa yang cukup untuk memproses keputusan dengan teliti dan tepat.

“Dalam masa sama, ia turut mengambil kira perkara lain termasuk tarikh permohonan dan kemaskini Unit Pusat Universiti (UPU) dan lain-lain bagi tujuan kemasukan calon lepasan SPM pada peringkat lebih tinggi,” ujarnya.

Sementara itu katanya, keputusan SPM boleh diakses secara dalam talian (myresultspm.moe.gov.my) atau menerusi sistem pesanan ringkas SMS.

Katanya, bagi calon yang tiada akses, mereka boleh ke mana-mana sekolah berdekatan untuk menyemak dan mendapatkan keputusan.

“Pihak sekolah mempunyai tempoh masa yang panjang untuk merancang dan menyelaras mekanisme pengurusan serta pentadbiran tugas berkaitan pengeluaran keputusan peperiksaan SPM 2023.

“Oleh itu, pengeluaran keputusan SPM 2023 tidak akan menjejaskan perancangan awal cuti dan perjalanan yang telah dibuat oleh guru,” katanya.

Pada masa sama katanya, majlis sambutan meraikan keputusan juga tidak perlu dilakukan pada minggu tersebut dan boleh dilaksanakan apabila sekolah kembali dibuka.

“Pentadbir sekolah diminta memastikan guru yang telah membuat perancangan cuti atau perjalanan tidak terganggu.

“Pihak pengurusan KPM juga akan mengadakan sesi libat urus dengan semua JPN dengan kadar segera bagi memastikan kelancaran pengeluaran keputusan SPM dan dalam masa yang sama kesejahteraan semua guru,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button