SC beri amaran penipuan pelaburan guna deepfake
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memberi amaran kepada orang ramai tentang tektik terkini penipuan pelaburan yang menggunakan teknologi ‘deepfake’ dan kecerdasan buatan (AI).
Melalui teknologi itu katanya, sindiket mensasarkan mangsa dengan menyiarkan video deepfake untuk mendapatkan kredibiliti bagi tujuan meraih kepercayaan daripada orang ramai.
Kecanggihan teknologi itu misalnya membolehkan watak individu yang terkenal dan berpengaruh ‘dihidupkan’ secara grafik dan memberi pengiktirafan kepada skim pelaburan mereka.
SC berkata, melalui reputasi yang dicipta secara digital itu, orang ramai akan mudah terpengaruh sehingga sanggup memberi jumlah pelaburan yang tinggi.
Sebaran mesej untuk memancing mangsa yang dilakukan melalui media sosial itu pula biasanya dilampirkan dengan pautan “Ketahui lebih lanjut” yang membawa mangsa ke laman pendaftaran.
“Orang ramai yang tidak peka dan terus mengakses pautan itu akan diminta memuat turun aplikasi, yang mana ia mendedahkan mereka kepada risiko jenayah siber.
“Setelah mendaftar, bakal mangsa akan dihubungi oleh ejen yang kemudiannya menipu mereka, dengan meminta untuk memindahkan wang atau memberikan butiran peribadi selanjutnya,” katanya.
Susulan peningkatan kes seumpama itu, SC dengan bantuan Meta telah menurunkan video sedemikian bagi mengelak lebih ramai menjadi mangsa.
Menurut SC, pihaknya juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan pihak berkuasa berkaitan untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap aktiviti penipuan pelaburan berkenaan.
“Selain itu, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dalam menilai tawaran pelaburan, termasuk memastikan mereka tidak memindahkan atau mendepositkan wang ke dalam akaun yang mencurigakan,” kata SC.