Berita Semasa

MyBas Konsesi tawar tambang percuma kepada OKU, warga emas, pelajar

 

KUALA LUMPUR – Golongan orang kurang upaya (OKU), warga emas dan pelajar sekolah berusia 7 hingga 17 tahun kini menikmati tambang percuma melalui inisiatif ‘myBAS Konsesi’ yang dilaksanakan di bawah program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti (SBST).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Foke berkata, inisiatif yang dikendalikan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) itu akan mula beroperasi di Seremban, Johor Bahru dan Ipoh 15 pada hari ini (15 Ogos).

Siew Foke berkata, sebagai permulaan inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 2,500 pengguna golongan sasar untuk menggunakan kemudahan tersebut di 58 laluan.

“Golongan sasar warganegara Malaysia yang berkelayakan untuk menerima manfaat tambang percuma ini terbuka kepada OKU berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM), warga emas berumur 60 tahun dan ke atas serta kanak-kanak berumur tujuh hingga 17 tahun yang bersekolah di kawasan liputan perkhidmatan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengumumkan inisiatif berkenaan di Terminal 1, di sini hari ini.

Menurut Siew Foke, orang ramai yang layak mendapatkan inisiatif itu boleh mendaftar di kaunter perkhidmatan myBAS dengan membawa dokumen pengenalan diri.

“Pemohon hanya perlu pergi sekali sahaja di kaunter pendaftaran untuk mendapatkan pas myBAS. Pas ini hanya sah untuk setahun

“Kita akan cuba memudahkan pendaftaran dan mungkin tidak perlu memperbaharuinya setiap tahun bagi memudahkan mereka,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya juga bercadang memperluaskan pelaksanaan tambang percuma berkenaan ke negeri lain secara berperingkat.

Show More

Related Articles

Back to top button