Berita SemasaLuar Negara

Persatuan ibu bapa puji kecekapan kerajaan bawa pulang pelajar dari Bangladesh

PUTRAJAYA – Persatuan Ibu Bapa Pelajar Malaysia di Bangladesh memuji kecekapan kerajaan melalui Kementerian Luar Negeri dalam menguruskan evakuasi rakyat Malaysia dari negara bergolak itu.

Dalam kunjungan yang diadakan di Wisma Putra, hari ini, wakil persatuan, Mejar Jeneral (Bersara) Nubli Hashim, menyampaikan ucapan terima kasih kepada kerajaan melalui usaha yang digerakkan oleh Menteri Luar negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Dalam ucapan beliau, Nubli menekankan betapa pantasnya proses evakuasi pelajar-pelajar tersebut diuruskan.

“Proses ini amat cepat bagi kami kerana kami baru sahaja mahu menghantar permohonan tapi dimaklumkan bahawa pesawat akan sampai esok pagi di Dhaka.

“Sangat cepat, tidak timbul sebarang isu yang kerajaan tidak mempedulikan pelajar Malaysia di Bangladesh,” katanya di sini hari ini.

Nubli berkata, tindakan pantas kerajaan membuktikan komitmen dan keprihatinan terhadap kesejahteraan rakyat Malaysia di luar negara.

“Inisiatif ini bukan sahaja memberikan ketenangan kepada pelajar dan keluarga mereka, tetapi juga memperkukuhkan kepercayaan rakyat terhadap keupayaan kerajaan dalam menangani situasi kecemasan di luar negara,” katanya lagi.

Kunjungan hormat ini turut dihadiri oleh ibu bapa pelajar di Bangladesh, pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Luar Negeri serta wakil-wakil dari pelbagai agensi yang terlibat dalam proses evakuasi tersebut.

Sebelum itu dalam sidang media khas, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi kelulusan supaya perancangan untuk membawa pulang rakyat Malaysia dari negara itu disegerakan.

“Kita putuskan untuk bawa pulang rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Mohamad memaklumkan bahawa, penerbangan khas menggunakan pesawat AirAsia A330 dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal, Dhaka pada pukul 10 pagi esok dan akan berlepas pulang pada hari sama sebaik sahaja urusan penerbangan selesai,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button