Berita SemasaSukan

Euro 2024: Tewas mengejut kepada Austria, Belanda tersingkir peringkat kalah mati

BERLIN – Austria berjaya mencatatkan kemenangan mengejut 3-2 ke atas Belanda pada aksi terakhir peringkat kumpulan Euro 2024 untuk membawa Austria mara ke pusingan kalah mati, awal pagi tadi.

Austria dikemudi oleh bekas jurulatih Manchester United, Ralf Rangnick turun sebagai pasukan bukan pilihan untuk berdepan barisan bintang Belanda yang mendominasi perlawanan dari permulaan permainan.

Peluang pertama Austria tiba melalui gerakan agresif dari bahagian sayap yang menyaksikan pemain Belanda, Donyell Malen tertampan bola ke gawang sendiri untuk meletakkan Austria 1-0 di hadapan.

Belanda kelihatan hilang rentak dan gagal menguasai permainan dan kedudukan kekal 1-0 sehingga rehat separuh masa.

Selepas rehat separuh masa, penyerang Belanda, Xavi Simons merencana serangan balas yang membolehkan Cody Gakpo menyamakan kedudukan 1-1 seminit selepas perlawanan bersambung.

Namun, Austria kembali mendahului melalui tandukan Romano Schmid pada minit ke-59.

Dalam usaha untuk mencari gol penyamaan, Ronald Koeman membawa masuk pemain penyerang, Wout Weghorst, yang segera memberi impak dengan hantaran lintangnya disambar oleh Memphis Depay untuk mengikat kedudukan 2-2 pada minit ke-77.

Drama memuncak apabila Marcel Sabitzer meledak gol ketiga Austria pada minit ke-81, dan memastikan kemenangan 3-2 buat Austria.

Dalam perkembangan lain, Perancis berpuas hati sekadar seri menentang Poland 1-1 dalam aksi di Stadium Signal Iduna Park, awak pagi tadi.

Perancis yang turun sebagai pasukan pilihan kejohanan, berpuas hati dengan keputusan seri yang sudah memadai untuk mara ke peringkat kalah mati.

Penyerang sensasi, Kylian Mbappe kembali beraksi selepas kecederaan mukanya tempoh hari, hadir untuk menjaringkan gol pertama kejohanan Euro 2024 melalui sepakan penalti selepas rakan sepasukan, Ousmane Dembele dijatuhkan.

Poland tidak berputus asa dan berjaya menyamakan kedudukan melalui sepakan penalti Robert Lewandowski selepas Dayot Upamecano melakukan kekasaran.

Keputusan seri ini menyaksikan Perancis terlepas tempat pertama kumpulan, yang dirampas oleh Austria susulan kemenangan dramatik mereka ke atas Belanda.

Show More

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button