Politik

PRN Sabah: Gandingan kukuh BN-PH bakal merubah landskap politik Sabah

SANDAKAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) akan hadir untuk menyampaikan amanat di Himpunan Barisan Nasional (BN) negeri Sabah (HBNNS) pada 21 Julai ini.

Ketua Penerangan BN Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata, kehadiran Anwar itu membuktikan hubungan erat di antara kedua-dua parti khususnya sebagai persediaan untuk menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Sabah ke-17.

“Gandingan BN-PH diyakini akan memberikan dampak positif serta bakal merubah landskap politik negeri Sabah, sejajar dengan persefahaman yang amat baik dan kukuh di antara Pengerusi PH dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin juga menegaskan formula BN-PH merupakan yang terbaik menghadapi PRN ke-17 kelak dengan mengenepikan sentimen anti-malaya dan anti persekutuan yang sering menjadi senjata pihak lawan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Suhaimi berkata rakyat di Sabah menyedari bahawa Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Anwar mengambil peduli berkaitan kebajikan mereka.

Jelas beliau, ia dizahirkan melalui Belanjawan 2024 di mana Sabah telah diperuntukkan sebanyak RM6.6 bilion berbanding RM6.5 bilion tahun sebelumnya.

“Selain itu, Kerajaan Persekutuan atas semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) turut menurunkan kuasa pelaksanaan projek pembangunan di bawah nilai RM50 juta kepada agensi teknikal di Sabah dan Sarawak.

“Ini jelas membuktikan Perdana Menteri bersungguh-sungguh untuk melihat pembangunan dan kemajuan di negeri Sabah menerusi pelbagai inisiatif,” ujarnya.

Sementara itu, Suhaimi mengajak orang ramai khususnya penyokong BN untuk hadir ke Sandakan bagi menzahirkan solidariti parti berkenaan.

Show More

Related Articles

Back to top button