Bisnes & Ekonomi

Selepas 4 tahun, Malakat Mall terpaksa henti beroperasi

CYBERJAYA – Selepas empat tahun beroperasi, pusat beli belah mesra muslim, Malakat Mall terpaksa menutup  satu-satunya premis fizikalnya di sini pada 31 Julai ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebook Malakat Mall hari ini.

“Dengan rasa penuh hormat, saya mengumumkan bahawa Malakat Mall akan meneroka model perniagaan baharu . Oleh yang demikian, kami akan menutup premis fizikal Malakat Mall Cyberjaya. Hari terakhir ia dibuka kepada umum ialah pada hari Rabu, 31 Julai 2024. Oleh itu, operasi syarikat akan diteruskan dalam skala yang lebih kecil.

“Sejak dibuka pada 13 Mac 2020, Malakat Mall telah diuji dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana pandemik COVID-19 hanya selepas hari kelima beroperasi. Dalam tempoh empat tahun ini terutamanya selepas endemik terdapat banyak cabaran,” katanya yang lebih dikenali sebagai Coach Fadzil.

Coach Fadzil berkata, selepas ini, perniagaan makanan & minuman (F&B) di Malakat Mall akan berpindah ke dalam bangunan Casa De Madani yang diubah menjadi restoran Rumah Makan.

Katanya, unit peruncitan pula akan berpindah 100 peratus kepada perniagaan secara atas talian bagi jualan pelbagai barangan seperti busana, aksesori, alat tulis, buku serta perhiasan di www.malakat.com manakala, kedai Malakat Grocer akan hanya dikekalkan operasi di Taman Kosas, Ampang.

“Sempena penutupan premis fizikal Malakat Mall Cyberjaya, kami ingin mengumumkan penjualan penutupan Malakat Mall dengan diskaun aset-aset sehingga 70 peratus mulai 20 sehingga 31 Julai ini,” katanya.

Sementara itu mengulas mengenai Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM), katanya, Coach Fadzil berkata, pihaknya akan cuba membantu KoPPIM membeli saham ahli-ahli yang ingin menjual semula syer mereka walaupun proses ini akan mengambil masa yang lebih lama.

“KoPPIM tetap kekal sebagai koperasi strategik yang mana jika digembeleng kekuatannya secara betul akan berjaya menjadi pembina ekonomi ummah.

“Imej pasar mesra muslim dan mesra usahawan adalah imej Malakat Mall yang tidak akan berhenti di sini dan mesti diteruskan dalam apa jua bentuk yang bersesuaian.

‘Kami akan bina kekuatan asas kumpulan kami dengan memberi fokus kepada sistem dalam talian.
Semoga usaha ini akan mencapai kejayaan di masa hadapan. Kami mohon doa dan sokongan yang berterusan agar perjuangan ini mencapai kejayaan di masa depan,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button