Tengku Zafrul fail afidavit untuk perbetul fakta dalam afidavit diikrar Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk meminta kebenaran bagi memfailkan afidavitnya.
Tengku Zafrul dalam satu kenyataan hari ini berkata, permohonan tersebut adalah untuk memperbetulkan beberapa kesilapan fakta dalam afidavit tambahan yang diikrarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ujar Zafrul, beliau yang telah mendapatkan nasihat undang-undang yang sesuai berhubung afidavit Ahmad Zahid itu berpendirian bukan untuk mempertikaikan merit isu yang sedang berlangsung.
Jelas beliau, nasihat undang-undang itu dibuat selepas melihat Afidavit Tambahan No. 3 yang diikrarkan oleh Zahid pada Rabu dalam prosiding undang-undang yang dikemukakan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Saya hanya ingin memastikan bahawa fakta sebenar direkodkan dengan betul supaya semua pihak, khususnya Mahkamah Tinggi, dapat menilai kesemua fakta material dengan sewajarnya,” katanya.
Tengku Zafrul menegaskan, tindakannya itu adalah bagi membolehkan keputusan yang adil dan saksama dibuat demi kepentingan semua pihak yang terlibat.
Hari ini, Ahmad Zahid, yang juga merupakan Presiden UMNO mendakwa, beliau diberitahu mengenai kewujudan Titah Adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16, supaya Najib menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah oleh Tengku Zafrul.
Ahmad Zahid juga dilaporkan berkata, Tengku Zafrul menunjukkan kepadanya salinan Titah Adendum itu pada telefonnya yang diambil gambar dan imbas sendiri daripada salinan asal seperti ditunjukkan kepadanya oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah).
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune