Hala tuju kerjasama Malaysia-Iran tak akan dipengaruhi pihak asing – PM
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan hala tuju kerjasama Malaysia-Iran tidak akan dipengaruhi campur tangan atau pengaruh pihak asing, sebaliknya berpandu sepenuhnya kepada manfaat dan kemakmuran rakyat kedua-dua negara.
Perdana Menteri berkata demikian dalam perbualan telefon bersama Presiden Terpilih Iran, Dr Masoud Pezeshkian, semalam.
“Saya menyampaikan ucapan tahniah kepada beliau yang akan mengangkat sumpah sebagai Presiden Iran yang baharu pada 30 Julai ini, selain menyatakan harapan melihat negara tersebut terus berkembang hebat di bawah pimpinan beliau,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Perdana Menteri berkata, beliau turut menzahirkan ucapan takziah di atas pemergian almarhum Ebrahim Raisi, bekas Presiden Iran yang terkorban dalam nahas helikopter pada 19 Mei lalu.
“Perbualan kami kemudian menyentuh mengenai komitmen berterusan kedua-dua negara untuk terus memperkukuh hubungan dua hala, pelaburan dan perdagangan Malaysia-Iran, selain sedia memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang berpotensi yang masih belum diteroka sepenuhnya,” ujarnya lagi.
Anwar berkata, beliau juga sempat menyatakan penghargaan atas pendirian teguh Iran dalam perjuangan menuntut keadilan buat rakyat Palestin serta menentang kezaliman dan genosid yang dilakukan rejim Zionis Israel.
“Di akhir perbualan, saya menyampaikan jemputan buat Dr Masoud untuk berkunjung ke Malaysia sesegera mungkin, dan Dr Masoud turut menjemput saya ke Iran untuk terus memperkukuh hubungan persahabatan Malaysia-Iran,” katanya.