Pemandu e-hailing hilang selepas hantar penumpang
MELAKA – Seorang pemandu e-hailing hilang sejak Khamis lalu selepas memaklumkan akan menghantar penumpang ke Teluk Intan, Perak.
Saiful Azwan Dahlan, 38, berkata, adiknya, Syahrul Ashraf, 33, yang tinggal di Pandan Indah, Ampang tidak dapat dihubungi oleh ahli keluarga termasuk isterinya, lapor Sinar Harian.
“Kali terakhir saya menghubungi adik melalui aplikasi WhatsApp pada Khamis lalu dan dia hanya memaklumkan akan menghantar penumpang ke Teluk Intan.
“Keesokan harinya, saya tidak dapat menghubunginya lagi sehingga ke hari ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Jelasnya, adiknya tidak pernah mengadu menghadapi sebarang masalah sebelum dia dilaporkan hilang.
“Dia tidak pernah hilang seperti ini atau mempunyai masalah keluarga, isteri dan empat anaknya berusia sembilan hingga dua tahun sentiasa menanti kepulangannya,” katanya lagi.
Ujarnya, satu laporan polis juga telah dibuat di Balai Polis Pandan Indah pada Ahad lalu berhubung kehilangan adiknya itu.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Syahrul Ashraf diharap dapat membantu menghubungi saya di talian 017-6328457,” ujarnya lagi.