Pemilihan BERSATU : Faizal Azumu beri laluan kepada Hamzah
KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu akan berundur daripada jawatannya bagi memberi laluan kepada Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada pemilihan parti itu yang dijadualkan pada Oktober ini.
Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan perkara itu melalui mandat yang dipersetujui Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) bagi memastikan tiada pertembungan dalam pemilihan parti pada Oktober ini.
Beliau berkata, Faizal sendiri bersetuju mengundurkan diri untuk memberi peluang kepada Hamzah selaku Ketua Pembangkang.
“Saya mula melakukan pertemuan dengan kepemimpinan tertinggi dalam beberapa minggu yang lalu bagi mendapatkan maklum balas dan mengambil kira cita-cita masing-masing.
“Faizal bersedia melepaskan (jawatan) dan tidak bertanding, memberi ruang kepada Hamzah atas dasar mengiktiraf peranannya sebagai Setiausaha Agung BERSATU dan Perikatan Nasional (PN) selain menjadi Ketua Pembangkang yang banyak pengaruh dan hubungan akrab dengan parti komponen lain,” katanya.
Muhyiddin berkata demikian pada sidang media selepas majlis penutupan Konvensyen BERSATU di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Selayang, hari ini.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan jawatan Setiausaha Agung BERSATU akan ditawarkan kepada Ketua BERSATU Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di atas ketokohannya dan prestasinya yang baik.
Manakala dia penyandang Naib Presiden, Datuk Radzi Jidin dan Datuk Seri Ronald Kiandee akan mempertahankan jawatan pada pemilihan akan datang.
Muhyiddin akan terus menjadi presiden apabila mesyuarat MPT sebelum ini menetapkan jawatan itu tidak dipertandingkan, selaras dengan keketapan Perhimpunan Agung Tahunan Khas Bersatu pada 25 November tahun lalu.