Jenayah & Mahkamah

Polis ambil keterangan pelakon didakwa pukul teman wanita

PETALING JAYA – Polis mengesahkan pelakon lelaki yang didakwa memukul teman wanitanya Ahad lalu, hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, lelaki itu hadir ditemani bapanya pada pukul 9 malam tadi.

“Pelakon terbabit tidak ditahan dan hanya diambil keterangan.

“Rakaman percakapan kakak mangsa juga sudah diambil. Kertas siasatan akan dikemukakan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 7 Julai lalu, seorang wanita mendakwa dipukul teman lelakinya yang juga seorang pelakon dalam kejadian di Ara Damansara, pada pukul 3 pagi.

Kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa keluar bersama kakaknya sebelum dihubungi suspek yang memarahinya kerana perselisihan faham.

Teman lelaki mangsa berusia 37 tahun kemudian meminta wanita berkenaan untuk datang berjumpanya sebelum mereka bertemu di Ara Damansara.

Sebaik tiba, mangsa masuk ke dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandu teman lelakinya.

Tiba-tiba teman lelaki mangsa memarahinya dan terus menumbuk mata sebelah kiri serta badan wanita berkenaan.

Show More

Related Articles

Back to top button