Politik

Enam MP Bersatu umum jadi wakil rakyat bebas, tidak sertai mana-mana parti

KUALA LUMPUR – Enam bekas Ahli Parlimen Bersatu memutuskan untuk terus berkhidmat sebagai wakil rakyat Bebas di kawasan selepas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memutuskan kerusi mereka tidak perlu dikosongkan.

Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman berkata, keenam-enam Ahli Parlimen yang menyatakan sokongan terhadap kerjaaan itu tidak akan menyertai mana-mana parti parti politik lain selepas ini.

“Perkara 49A jelas bahawa kami tidak boleh menyertai mana-mana parti kerana ia akan melanggar perkara 49A.

“Apa yang kami perjuangkan sehingga menyebabkan kami menjadi Ahli Parlimen bebas adalah soal peruntukan Ahli Parlimen untuk kami berkhidmat kepada rakyat di kawasan, itu saja,” katanya yang mengetuai sidang media di Parlimen hari ini.

Hadir sama dalam sidang media itu, Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik; Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), manakala Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal tidak hadir kerana tidak sihat.

Media semalam melaporkan enam kerusi disandang enam ahli Parlimen Bersatu tidak perlu dikosongkan.

Ia setelah Johari memberitahu Ketua Whip Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee mengenai keputusan yang telah diserahkan menerusi e-mel dan whatsApp.

Semalam, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyelar tindakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang tidak mengisytiharkan berlaku kekosongan kerusi untuk keenam-enam kerusi bekas ahli Bersatu.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, keputusan yang diberikan oleh Speaker tersebut adalah amat mengecewakan kerana dengan jelas bercanggah dengan peruntukan Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan.

Show More

Related Articles

Back to top button