Bidas rakan sekutu, Ketua Pemuda UMNO seru umat Islam terus boikot KK Mart
KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Salleh menyeru seluruh umat Islam untuk bersatu padu memboikot KK Mart berhubung isu stoking kalimah Allah yang dijual di pasar raya itu.
Malah, Dr Akmal turut menyelar kenyataan daripada Ketua Pemuda DAP dan juga Ketua Pemuda MCA supaya bertenang dan tidak memboikot pasar raya KK Mart.
“Orang Islam di negara ini sudah cukup bertenang, jika tidak bertenang bukan sekadar boikot, tetapi mungkin kedai dibakar.
“Takkan dengan satu permohonan maaf semua rakyat tak perlu bertenang dan tidak boikot, kami hanya melancarkan gerakan boikot kerana ini adalah perkara yang paling terkesan di hati orang Islam.
“Janganlah kamu bersepakat untuk menyeru orang untuk tidak memboikot kerana kami ingin memberikan satu pengajaran bukan kepada KK Mart sahaja, ianya pengajaran yang keras adalah kepada mana-mana pihak selepas ini jangan berani mempermainkan 3R terutamanya bab agama dan bangsa maka kita tidak akan bertolak ansur,” katanya dalam satu hantaran video dalam laman TikTok miliknya.
Dr Akmal berkata, ini merupakan amaran keras dan soladiriti rakyat Malaysia yang marah apabila nama Allah dihina sedemikian rupa.
“Turun dan dengar apa keluhan dan apa perasaan orang Melayu, orang Islam di negara ini apabila nama Allah dijaja dan dihina begitu teruk sekali.
“Saya menyarankan kepada seluruh rakyat Malaysia, terutamanya orang Islam kali ini adalah masa untuk kita tunjukkan kesepaduan untuk boikot habis-habisan untuk memberikan satu pengajaran yang lebih kuat dan tegas bagi mana mana pihak yang cuba mempermainkan isu sensitif,” katanya lagi.
Di akhir video reaksi balas kepada isu tersebut, Akmal memetik kata-kata Buya Hamka, kalau kamu diam di saat agamamu dihina, gantilah bajumu dengan kain kafan.