RUU Perlindungan Data Peribadi dibentang di Dewan Rakyat
KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Perlindungan Data Peribadi (Pindaan) 2024 dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, pindaan tersebut menunjukkan bahawa kerajaan memandang serius masalah ketirisan data peribadi di negara ini.
Menurut Gobind, dalam tempoh Oktober 2023 hingga Mac tahun ini, statistik jumlah aduan yang diterima menunjukkan trend peningkatan sebanyak 5.1 peratus.
“Secara keseluruhan sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 322 aduan penyalahgunaan dan pelanggaran data peribadi telah diterima oleh Pejabat Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi (PDP).
“Sebanyak 157 aduan telah diterima pada suku keempat tahun 2023 manakala 165 aduan diterima pada suku pertama tahun 2024,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, Gobind berkata, bagi statistik pelanggaran data peribadi secara khususnya, trend meningkat dengan lebih ketara iaitu sebanyak 41 peratus pada tahun ini berbanding tahun 2023.
Jelas beliau, pada suku keempat tahun 2023, Pejabat Pesuruhjaya PDP telah menerima sebanyak 27 notifikasi pelanggaran data peribadi berbanding pada suku pertama tahun ini, sebanyak 38 notifikasi pelanggaran data peribadi telah diterima.
“Berdasarkan statistik tahun 2023, Pejabat Pesuruhjaya PDP telah menerima sebanyak 779 aduan penyalahgunaan dan pelanggaran data peribadi, manakala setakat bulan Jun tahun ini, sebanyak 288 aduan telah diterima oleh Pejabat Pesuruhjaya PDP.
“Walaupun secara purata terdapat sedikit penurunan di atas usaha penguatkuasaan berterusan oleh Pejabat Pesuruhjaya PDP, namun angka statistik ini masih membimbangkan,” ujarnya lagi.
Tambah Gobind, melalui cadangan pindaaan ini, aspek-aspek khusus yang diperkukuhkan dalam akta ini, termasuk memastikan pelantikan Pegawai Perlindungan Data dilaksanakan oleh sesebuah organisasi yang mengawal data serta peruntukan data berkaitan perlindungan data adalah dipatuhi.
Ujar beliau, setiap organisasi iaitu Pengawal Data atau Pemproses Data perlu memberitahu Pesuruhjaya PDP megenai pelantikan pegawai tersebut.
“Pindaan ini akan mewujudkan tanggungjawab untuk setiap pengawal data untuk melaporkan sebarang insiden pelanggaran data peribadi dalam tempoh secepat yang boleh dilaksanakan dan sekiranya pelanggaran data itu mengakibatkan apa-apa kemudaratan yang ketara kepada subjek data, pengawal data tersebut perlu bertindak dengan segera utuk membuat laporan itu.
“Kegagalan pengawal data untuk melaporkan sebarang insiden seperti mana yang dinyatakan apabila disabitkan boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM250,000 atau pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya.
“Pindaan ini akan mewujudkan hak kemudahalihan data di mana seseorang subjek data boleh meminta pengawal data untuk menghantar data peribadinya kepada pengawal data pilihannya. Ini akan memudahcarakan proses alihan data yang diperlukan mengikut keadaan-keadaan tertentu.
“Pindaan ini juga mengenakan hukuman dalam keadaan di mana berlakunya sebarang pelanggaran kepada undang-undang sedia ada, daripada RM300,000 atau pemenjaraan selama tempoh tidak meleibihi dua tahun atau kedua-duanya kepada RM1 juta atau dipenjarakan selama tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
“Pindaan-pindaan ini menunjukkan bahawa Kerajaan memandang serius keperluan untuk melindungi data khususnya dalam dunia digital di mana data akan memainkan peranan yang penting dalam teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI).
“Pindaan ini berniat untuk memastikan tidak ada data yang digunakan tanpa persetujuan pemilik data tersebut dan untuk mengelakkan berlakunya penyalahgunaan data semasa penggunaan platform-platform digital yang sedia ada dan bakal duwujudkan pada masa hadapan selari dengan perkembangan baharu dalam bidang teknologi,” ujarnya lagi
Gobind berkata, pindaan kepada Akta ini diharapkan akan mendapat sokongan seluruh Ahli Parlimen selepas ia dikemukakan di Dewan Rakyat hari ini.