Berita Semasa

Imam pulang selepas lawat isteri baru bersalin di hospital maut kemalangan

MANJUNG – Seorang iman di sebuah masjid di sini maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) Perodua Kembara dipandunya terbabas di KM 211.8 Lebuhraya Pesisir Pantai Barat (WCE) arah Utara, dekat Sitiawan, di sini, hari ini.

Allahyarham Nurul Kamal Zulkarnain, 37, Imam Masjid As-Siddiq, Seri Iskandar yang juga Guru Takmir Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Seri Iskandar difahamkan terlibat dalam kemalangan itu selepas melawat isterinyaa yang baru sahaja melahirkan cahaya mata di Hospital Seri Manjung, semalam.

Kemalangan terbabit berlaku selepas mangsa melawat isterinya di hospital dan dalam perjalanan pulang ke Seri Iskandar untuk menjemput anak yang lain di sekolah.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.35 petang.

“Kemalangan membabitkan sebuah Perodua Kembara terbabas ke kawasan ladang kelapa sawit di tepi Lebuhraya WCE.

Allahyarham Ustaz Nurul Kamal Zulkarnain maut selepas terbabas di KM 211.8 Lebuhraya Pesisir Pantai Barat (WCE) arah Utara, dekat Sitiawan semalam.

“Terdapat seorang mangsa lelaki tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas dan mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Operasi menyelamat yang disertai lapan anggota bomba itu ditamatkan jam 5.37 petang.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button