Wanita nyaris temui ajal dihempap kayu balak
KUALA KRAI – Seorang wanita nyaris menemui ajal apabila dihempap kayu balak dalam satu kemalangan yang melibatkan sebuah lori terbalik di Persimpangan Utama, Jalan Gua Musang, pagi tadi.
Mangsa, Siti Norelyana Kamaruzan, 21, mengalami kecederaan parah dalam insiden yang berlaku kira-kira pukul 11.23 pagi itu.
Siti Norelyana yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pusat beli-belah di sini, sedang menunggang motosikal dan berhenti di persimpangan lampu isyarat ketika kejadian berlaku.
Lori balak tersebut yang sedang membelok ke laluan bersebelahan, tiba-tiba hilang kawalan menyebabkan muatan balak yang dibawanya terjatuh dan menghempap mangsa.
Rakaman video perakam kenderaan menunjukkan detik-detik cemas itu, di mana Siti Norelyana terpelanting sebelum terperosok di bawah kenderaan dan ditindih kayu balak.
Orang awam yang menyaksikan kejadian segera bertindak mengeluarkan mangsa dan membawanya ke Hospital Gua Musang untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Ketua Polis Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Beliau memaklumkan bahawa siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kemalangan itu.