Pintu pagar semua balai polis ditutup selepas pukul 10 malam
KUALA LUMPUR – Pintu masuk utama semua balai polis di seluruh negara akan ditutup selepas pukul 10 malam sebagai langkah keselamatan susulan kejadian serangan di Balai Ulu Tiram, Johor baru-baru ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah yang telah dilaksanakan itu dijadikan satu prosedur operasi standard (SOP) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah arahan Ketua Polis Negara (KPN).
Beliau berkata, pelaksanaan SOP baharu itu juga diambil sebagai satu tindakan untuk mengimbangi keperluan tanggungjawab terhadap masyarakat dan keselamatan anggota yang bertugas.
“Tindakan segera adalah memperketatkan prosedur operasi standard bagi semua kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), balai dan premis utama polis di bawah arahan pentadbiran supaya perbaiki beberapa arahan.
“Susulan insiden yang berlaku di Balai Polis Ulu Tiram, arahan pentadbiran perintah tetap KPN turut memasukkan supaya balai polis ditutup selepas jam 10 malam,”katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Datuk Seri Richard Riot (GPS – Serian) mengenai langkah-langkah untuk memperketatkan keselamatan di balai polis di Malaysia susulan insiden di Balai Polis Ulu Tiram, Johor baru-baru ini.
Dalam kejadian itu, dua anggota polis maut manakala seorang lagi cedera selepas diserang seorang lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang.