Berita Semasa

Kerajaan jamin kuota latihan TVET kepada pelajar Pantai Timur

KUANTAN – Kerajaan memberi jaminan akan menyediakan kuota tempat latihan yang cukup kepada pelajar dari negeri di Pantai Timur untuk menjalani Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hasil pertemuan beliau bersama Perdana Menteri China, sebanyak 5,000 kuota tempat latihan khas telah ditawarkan oleh 220 syarikat dari China kepada pelajar Malaysia yang menjalani TVET.

“Dan baru-baru ini dengan kehadiran Premier China, mulanya mereka menawarkan 1,000 tempat di peringkat lebih tinggi TVET, tetapi selepas mesyuarat dengan kita, mereka bersetuju untuk memberikan 5,000 tempat latihan khas,” katanya dalam ucapan perasmian  Program Madani Rakyat Zon Timur 2024 di Dataran Sayangi Kuantan, hari ini.

Program Madani Rakyat Zon Timur 2024 di Dataran Sayangi Kuantan, hari ini.

Beliau juga yakin dengan kepemimpinan daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kouta 5,000 tempat tersebut dalam diperuntukkan untuk pelajar di wilayah Timur.

“Saya percaya daripada 5,000 itu ada tempat munasabah untuk Pahang, Kelantan dan Terengganu, ada perwakilan jadi jangan bimbang,” tambahnya.

Katanya, kuota tersebut turut merangkumi latihan jangka pendek, sederhana dan panjang melalui TVET yang berpotensi mengubah keadaan ekonomi negara dengan melonjakkan industri tersebut.

Beliau menegaskan perkara itu penting memandangkan aliran masuk pelaburan langsung asing negara pada suku pertama tahun ini mencatatkan sejarah tertinggi dalam negara.

“Tahun lalu 2023, pelaburan dalam negeri (domestik) dan luar tertinggi dalam sejarah. Suku tahun ini perkembangan sangat menggalakkan,” katanya.

Sehubungan itu, semua pihak perlu bersiap sedia bagi memajukan ekonomi negara.

Show More

Related Articles

Back to top button