Universiti Al-Azhar taja 25 imam ikuti program latihan
KUALA LUMPUR – Seramai 25 imam terpilih daripada negara ini berpeluang mengikuti program latihan Universiti Al-Azhar dengan tajaan penuh bermula tahun ini.
Laporan BERNAMA menyebut, perkara itu diumumkan Sheikh Al-Azhar, Imam Akbar Prof Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb ketika kunjungannya bersama Ahli Lembaga Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), di sini.
Program latihan itu, katanya, akan diadakan sama ada secara dalam talian atau bersemuka di Kaherah, Mesir.
Sementara itu, Sheikh Al-Azhar dalam ucapannya turut menyuarakan kebimbangan terhadap gejala takfir, iaitu mengkafirkan seseorang; tafsiq (tuduhan sebagai fasik) dan tabdi’ (tuduhan sebagai ahli bidaah) dalam kalangan umat Islam masa kini.
Beliau berkata, perbezaan mazhab dan aliran pemikiran dalam Islam tidak seharusnya menjadi punca persengketaan antara Muslimin, apatah lagi perseteruan bersenjata.
“Saya gusar adanya tangan ghaib cuba melaga-lagakan sesama umat Islam. Malah, eksploitasi musuh menyebabkan imej Islam terpalit dengan unsur keganasan.
“Daesh misalnya, menyalahgunakan takbir ketika menyembelih tawanan bukan Islam. Ini menimbulkan salah faham terhadap Islam dan umatnya. Sedangkan ini bertentangan ajaran Islam melarang keras kita berperang kecuali apabila diserang musuh menceroboh negara kita sahaja,” katanya lagi.
Beliau turut menasihatkan umat Islam agar menjaga hubungan baik dengan masyarakat bukan Islam di negara ini dan mengekalkan hubungan muhibah yang sedia terjalin selama ini.