Berita SemasaPM X

Universiti Al-Azhar tawar biasiswa dalam tiga bidang kepada pelajar cemerlang Malaysia

KAHERAH – Universiti Al-Azhar Al-Sharif bersetuju menawarkan biasiswa kepada pelajar Malaysia cemerlang untuk menuntut di universiti itu dalam bidang perubatan, kejuruteraan dan teknologi.

Menurut BERNAMA, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemberian ini adalah sebahagian daripada usaha memperluaskan akses pendidikan kepada pelajar dari Malaysia untuk menuntut di universiti tersohor itu.

“Saya juga menekankan perlunya Malaysia dan Al-Azhar Al-Sharif memperkukuh kerjasama di rantau ASEAN, terutama dalam bidang teknologi dan penyebaran ilmu pengetahuan,” kata Anwar ketika menyampaikan ceramah umum di Al-Azhar Conference Centre di Kaherah, semalam (waktu tempatan).

Sesi ceramah Anwar bertajuk ‘Teguh Bersama: Visi Umat Islam Menerusi Pemerkasaan Teknologi, Sosial Dan Eekonomi’ itu dihadiri lebih 1,500 pelajar dari Al-Azhar.

Sebelum itu, Anwar turut mengadakan pertemuan bersama Sheikh Al-Azhar Al-Sharif, Prof Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb.

Pertemuan itu diadakan selepas beliau mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi di Al-Ittihadiya, sempena lawatan rasmi empat hari ke Mesir.

Dalam perbincangan Bersama Prof Ahmad, Anwar turut menyentuh tentang cadangan memorandum persefahaman (MoU) untuk memperkukuh kerjasama menerusi program Sains Islam (Ulum Islamiah) antara Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia dan Al-Azhar Al-Sharif.

Turut disentuh ialah rancangan usaha sama antara Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Institut Bahasa Arab Al-Azhar Al-Sharif bagi mempererat hubungan Malaysia dan Mesir dalam bidang pendidikan.

Show More

Related Articles

Back to top button