Berita Semasa

PRK Sungai Bakap: Pengundi dinasihat ikut cadangan masa keluar mengundi -SPR

SUNGAI BAKAP – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihati pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Sungai Bakap agar mengikut cadangan masa keluar mengundi yang digalakkan pada hari mengundi esok.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pengundi digalakkan untuk keluar mengundi mengikut masa keluar mengundi yang tercatat pada aplikasi MySPR Semak dan tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir.

“Walau bagaimanapun, pengundi boleh keluar mengundi dari pukul 8 pagi hingga 6 petang atau mengikut waktu Pusat Mengundi yang telah diwartakan.

“Seramai 552 orang petugas akan bertugas bagi proses pengundian ini nanti. Sebanyak sembilan Pusat Mengundi dan 65 Saluran akan dibuka untuk tujuan pengundian, di mana seramai 39,151 orang pengundi akan terlibat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau mengingatkan pengundi supaya membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran untuk memudahkan semakan nama pengundi.

“Semakan awal maklumat pengundian seperti maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan boleh dibuat melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7218 atau melalui aplikasi MySPR Semak,” tambah beliau.

Beliau juga mengingatkan semua pihak yang bertanding bahawa tempoh rasmi berkempen akan tamat sehari sebelum hari mengundi pada pukul 11:59 malam.

“Selepas tempoh itu berakhir, semua pihak dikehendaki menghentikan sebarang bentuk aktiviti berkempen seperti merayu undi di luar Pusat Mengundi termasuk melalui saluran media sosial.

“Semua parti atau calon bertanding dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara barung pada Hari Mengundi kerana ia merupakan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya.

Dalam pada itu katanya, penggunaan telefon bimbit oleh pengundi di saluran adalah tidak dibenarkan.

“Pengundi yang membawa telefon bimbit ke Saluran perlu meletakkan telefon bimbit di tempat yang telah disediakan setelah menerima kertas undi dan mengambilnya semula setelah selesai mengundi,” tegasnya.

Sementara itu, beliau juga mengingatkan agar mematuhi peraturan supaya tidak menyebabkan pengundi dilarang dari memasuki Pusat Mengundi.

“Semua pengundi, calon dan petugas yang ingin memasuki Pusat Mengundi pada Hari Mengundi dilarang memakai baju, topi, pelitup separuh muka.

“Termasuk pengundi yang membawa material yang mempunyai nama, lambang, simbol, gambar parti atau calon yang bertanding atau bahan kempen serta sebarang tagline atau slogan kempen yang menjurus kepada sokongan mana-mana fahaman politik,” jelasnya.

Show More

Related Articles

Back to top button