Pelawak ditahan polis adalah Mamat Sepah
SHAH ALAM – Identiti pelawak yang ditahan bersama isteri berhubung penyebaran maklumat dalaman Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam baru-baru ini terjawab apabila individu itu tampil membuat pengakuan.
Mamat Sepah atau nama sebenarnya Mohd Noor Murad mengakui dia adalah individu yang ditahan dalam kes penyebaran maklumat di aplikasi Telegram berkenaan.
“Ya, memang saya yang ditahan reman berhubung kes tular beberapa hari sebelum ini.
“Alhamdulilah keadaan saya biasa sahaja dan saya memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis. Tiada timbul sebarang isu atau masalah lain,” seperti yang di lapor Mstar Online.
Mamat dan isterinya telah dibebaskan atas jaminan polis namun beliau enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan yang mengaitkannya dengan penyebaran maklumat tersebut.
Kedua-dua mereka menyerahkan tindakan selanjutnya kepada pihak peguam untuk membuat sebarang penjelasan.
Peguam Muhammad Fadhli M. Sutris berkata, kes masih dalam siasatan polis dan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan seterusnya.
“Penyiasatan masih dijalankan, jadi saya menasihatkan semua pihak agar tidak memberikan komen atau membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis,” katanya lagi.