PAJSK: Maahad Tahfiz Negeri Pahang nafi dakwaan tidak patuh garis panduan KPM
KUANTAN – Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) menafikan dakwaan tidak mematuhi pelaksanaan dan pengumpulan markah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) mengikut garis panduan Kementerian Pendidikan (KPM).
Ketua Pegawai Eksekutif MTNP, Mohd Lafzul Muda berkata, pihaknya mematuhi semua garis panduan yang ditetapkan berkenaan PAJSK.
“MTNP telah mematuhi semua garis panduan pelaksanaan dan pengumpulan markah PAJSK yang telah ditetapkan oleh pihak KPM.
“Ini termasuk menghantar markah kepada pihak KPM mengikut ketetapan masa dan kaedah sebagaimana arahan dalam surat-surat KPM yang dikeluarkan kepada MTNP,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau juga menegaskan pihak MTNP telah segera berhubung dengan KPM, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), asasi universiti-universiti, serta badan-badan penaja untuk menangani isu ini.
“Kami telah mendapat kerjasama yang baik daripada pihak-pihak yang berkenaan,” tambahnya.
MTNP mengucapkan ribuan terima kasih atas keprihatinan dan kerjasama yang diberikan oleh semua pihak terhadap perkara ini.
Pihak sekolah juga berharap agar semua pihak dapat terus memberikan sokongan dan kepercayaan kepada MTNP dalam usaha mereka memberikan pendidikan terbaik kepada para pelajar.
Terdahulu tular satu hantaran di laman Facebook yang bertajuk Rezeki Tertangguh Berjemaah oleh seorang penjaga pelajar sekolah swasta itu yang mendakwa anaknya gagal mendapat pilihan pertama selepas keluar keputusan permohonan Unit Pusat Universiti (UPU) lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang diumumkan baru-baru ini.
Penjaga itu mendakwa selepas siasatan dilakukanya terdapat kesilapan markah PAJSK yang menyumbang 10 peratus daripada merit, sehingga menyebabkannya anaknya dan pelajar sekolah berkenaan yang dinobat sebagai sekolah paling cemerlang ketika peperiksaan SPM lalu tidak mendapat tempat pada pilihan pertama UPU.
“Ketika sesi temu duga beberapa penajaan, saya dekati ibu-ibu lain dan rata-rata pelajar cemerlang ditawarkan universiti pilihan pertama. Hati ibu berasa ada sesuatu tidak kena, jadi saya cekalkan semangat untuk ke KPT minta pencerahan.
“Ternyata tidak lari naluri yang Allah kurniakan. Dipendekkan cerita, rupa-rupanya semua anak-anak sekolah terbaik Malaysia kosong markah PAJSK mereka. Kosong! Semua!
“Apabila markah kosong implikasinya besar kerana daripada merit 98.5, hanya tinggal 90 sedangkan ini faktor yang mempengaruhi peluang mereka ke universiti pilihan. Mereka dinilai dengan dua aspek ini keputusan peperiksaan SPM dan markah PAJSK,” kongsinya.