Persatuan Badminton Indonesia mohon maaf berhubung kematian pemain remaja China
YOGYAKARTA – Persatuan Badminton Indonesia (PBSI) memohon maaf di atas kematian pemain muda China yang rebah semasa perlawanan di Kejohanan Badminton Remaja Asia (AJC) 2024 pada Ahad lalu di Dewan Sukan Amongrogo di sini.
Menurut jurucakap AJC, Broto Happy berkata, mereka mengambil tanggungjawab penuh dengan menguruskan penghantaran pulang mayat Zhang Zhi Jie, 17, ke negara kelahirannya, laporan Awani.
“Kami menghargai pasukan lain termasuk China, atas semangat kesukanan mereka dalam meneruskan perlawanan walaupun dalam kesedihan yang mendalam,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, bagi mengelakkan kejadian serupa, jawatankuasa penganjur bercadang menghantar surat kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berhubung peraturan pasukan perubatan.
Menurut beliau, peraturan semasa memerlukan pasukan perubatan menunggu panggilan daripada pengadil sebelum memasuki gelanggang.
“Kami berharap pada masa akan datang, keadaan ini dapat dinilai semula dengan lebih cepat supaya atlet dapat mendapat perhatian segera dan diselamatkan dalam kecemasan seperti itu,” katanya.
Beliau tidak dapat menjelaskan lebih lanjut mengapa pengadil tidak segera membenarkan pasukan perubatan memasuki gelanggang.
“Prosedur operasi standard (SOP) yang kami ikuti adalah betul,” tegasnya.
Broto menyatakan kematian Zhi Jie berlaku secara tiba-tiba selepas atlet itu rebah semasa perlawanan menentang Kazuma Kawano dari Jepun pada perlawanan akhir peringkat kumpulan BAJC 2024.
“Pasukan perubatan tiba untuk menyediakan pertolongan cemas mengikut prosedur,” jelasnya.
Selepas memberikan pertolongan cemas, doktor kejohanan memutuskan untuk membawa Zhi Jie ke Hospital Tentera Udara Dr S Hardjolukito yang terletak 4.7 km dari Dewan Sukan Amongrogo.
Setibanya di bilik kecemasan hospital, pasukan perubatan segera memberikan rawatan namun tidak menemui nadi atau pernafasan spontan.
Susulan itu, pegawai dari China kemudian meminta Zhi Jie dipindahkan ke Hospital Wilayah Dr Sardjito.
“Di Hospital Dr Sardjito, usaha membantu menyelamatkan Zhi Jie diteruskan selama sejam setengah, namun, masih tiada tindak balas,” katanya.
Ketika itu, mayat mendiang Zhi Jie masih berada di Hospital Dr Sardjito sementara menanti ketibaan keluarga untuk dihantar pulang.
“Kami akan bertanggungjawab sepenuhnya untuk proses penghantaran pulang dan memastikan ia selesai dengan lancar,” tambah beliau.
Dalam pada itu, Zhi Jie menduduki tempat ke-8 dunia dalam kategori perseorangan lelaki remaja.
Mendiang berjaya memenangi Kejohanan Remaja Asia B-17 tahun lalu dan memenangi trofi perseorangan lelaki pada kejohanan remaja di Belanda pada Februari lalu.
Sementara itu, ibu Zhi Jie dilaporkan dimasukkan ke hospital selepas mendengar berita kematian anaknya.
Menurut laporan media tempatan, dia sangat terkejut sebaik menerima berita duka itu.
“Ibunya serta-merta jatuh sakit dan tidak dapat menerima berita itu. Keluarga membawanya ke hospital,” katanya dalam laporan Sina News.