Berita SemasaSukan

Pestabola Merdeka 2024: Empat pasukan sahkan penyertaan

KUALA LUMPUR – Empat pasukan sudah mengesahkan penyertaan dalam pertandingan Pestabola Merdeka 2024 Edisi Ke-43 yang akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 2 hingga 10 September.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman, selain Harimau Malaya, pasukan lain yang akan mengambil bahagian adalah Tajikistan, Lebanon dan Filipina.

“Empat pasukan akan diundi bagi menentukan lawan masing-masing pada perlawanan pertama iaitu Separuh Akhir 1 dan 2, disusuli perlawanan kedua iaitu Final yang menemukan pemenang Separuh Akhir 1 dan 2 serta Penentuan Tempat Ketiga di antara dua pasukan yang kalah pada Separuh Akhir 1 dan 2.

“Ini merupakan kali pertama Pestabola Merdeka berjaya dianjurkan secara berturut-turut selepas tempoh 16 tahun, iaitu kali terakhir diadakan berturut-turut pada 2006, 2007 dan 2008, sebelum ia diadakan pada 2013 dan kembali selepas 10 tahun penganjurannya pada edisi tahun lalu, 2023,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut mengharapkan sokongan dari penyokong Harimau Malaya dalam memeriahkan lagi pertandingan itu memandangkan ia berlangsung dalam Bulan Kebangsaan iaitu selepas Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan menjelang Hari Malaysia pada 16 September.

Tambah Noor Azman, tarikh undian pasukan akan dimaklumkan kemudian.

“Tarikh majlis undian Pestabola Merdeka 2024 Edisi Ke-43 akan dimaklumkan kemudian bagi menentukan pasukan mana yang bakal bertembung pada Separuh Akhir, selain tarikh bagi Hari Perlawanan 1 untuk Separuh Akhir dan Hari Perlawanan 2 bagi Final dan Penentuan Tempat Ketiga turut akan ditetapkan nanti,” katanya.

Pada Edisi Ke-42 tahun lalu, skuad Harimau Malaya muncul naib juara selepas tewas 0-2 kepada Tajikistan pada perlawanan akhir.

Show More

Related Articles

Back to top button