Berita Semasa

Demo Rakyat Lawan Anwar: Penganjur nafi kurang dapat sambutan

PUTRAJAYA – Penganjur Demo Rakyat Lawan Anwar, Aidil Yunus menafikan perhimpunan tersebut yang dihadiri hampir 300 orang itu kurang mendapat sambutan.

Beliau yang juga Ketua Penggerak Demi Negara berkata, sebaliknya ia mencapai jumlah kehadiran yang dijangka pihaknya.

“Saya tidak rasa kurang. Dari awal kita kata kita punya sasaran jumlah kehadiran adalah 300 hingga 400 orang. Kita dah memang agak dari awal ia akan jadi begitu.

“Selepas ketua polis Kuala Lumpur berkata sesiapa yang turun akan diambil tindakan, sudah pastilah ia akan menakutkan orang lagi.

“Kena ingat juga, hari ini tiada dana mana-mana parti politik digunakan kami, maka semua yang datang ini adalah hasil daripada jemputan kenalan saya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan Demo Rakyat Lawan Anwar yang diadakan di kawasan tempat letak kenderaan di hadapan Kompleks Seri Perdana, di sini petang tadi.

Turut hadir pada perhimpunan itu adalah aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegubard; Ahli Jawatankuasa Badan Pimpinan Negeri, BERSATU Wilayah Persekutuan, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dan Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Muhammad Rafique Rashid Ali.

Terdahulu, sambutan perhimpunan yang diadakan pada pukul 4 petang itu tidak mencapai jangkaan orang ramai selepas hanya hampir 300 orang menghadirinya.

Perhimpunan tersebut mengumpulkan para penunjuk perasaan berbaju hitam yang mendesak Perdana Menteri menunaikan lapan tuntutan iaitu antaranya menurunkan semula harga diesel dan mengembalikan bekalan beras putih tempatan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa sebelum ini menasihatkan orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan itu.

Dalam pada itu, Rusdi berkata pihaknya telah juga menasihatkan penganjur supaya tidak meneruskan perhimpunan itu kerana tidak mendapat kebenaran pemilik tanah.

Show More

Related Articles

Back to top button