Berita Semasa

2.93 juta ahli buat pengeluaran hampir RM7 bilion Akaun Fleksibel KWSP

KUALA LUMPUR – Sebanyak 3.45 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memilih untuk memiliki amaun permulaan di Akaun Fleksibel, setakat 10 Jun lalu.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata ia membabitkan jumlah perpindahan RM10.86 bilion daripada Akaun Sejahtera yang sebelum ini dikenali Akaun 2.

Selain itu, katanya, seramai 2.93 juta ahli KWSP sudah membuat pengeluaran melalui Akaun Fleksibel membabitkan jumlah pengeluaran bernilai RM6.98 bilion.

“Tujuan utama Penstrukturan Semula Akaun KWSP dibuat bagi memastikan kesejahteraan kewangan semasa persaraan lebih mapan, selain mengimbangi keperluan semasa ahli.

“Inisiatif ini juga dapat membantu meningkatkan simpanan persaraan ahli supaya mereka memiliki pendapatan persaraan mencukupi untuk membiayai kehidupan persaraan kelak,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan mengenai pemindahan caruman ke Akaun Fleksibel serta strategi pelaburan jangka panjang dibangkitkan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) dan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan).

Mengulas lanjut katanya, bagi memastikan KWSP boleh mencapai objektif pelaburan itu, pelaburan dibuat berpandukan Alokasi Aset Strategik (SAA).

Beliau berkata, strategi itu memperuntukkan aset secara optimal dengan mengambil kira had toleransi risiko KWSP sebagai dana simpanan persaraan.

Berdasarkan SAA semasa, katanya, KWSP memperuntukkan baki tunai pelaburan pada julat dua hingga enam peratus.

“SAA ini dikaji semula secara berkala bagi memastikan jangkaan pulangan dan risiko adalah relevan dengan keadaan pasaran modal semasa serta sebarang perubahan polisi, regulatori, perakaunan dan profil aset-liabiliti KWSP.

“Antara pertimbangan akan dikaji adalah profil kecairan portfolio pelaburan serta peruntukan kepada baki tunai bagi mengambil kira impak daripada penstrukturan semula akaun KWSP.

Mengulas usaha mengekalkan kestabilan simpanan persaraan ahli, beliau berkata, Akaun Persaraan diperkasa untuk membantu meningkatkan simpanan persaraan ahli.

Beliau berkata, kadar nisbah pengkreditan caruman ahli adalah 75 peratus dikreditkan ke Akaun Persaraan, diikuti Akaun Sejahtera (15 peratus) dan Akaun Fleksibel (10 peratus), mulai 11 Mei lalu.

Kadar nisbah caruman dalam Akaun Persaraan dinaikkan sebanyak lima peratus berbanding nisbah 70 peratus sebelum ini.

Inisiatif ini bukan sekadar tindak balas kerajaan terhadap keperluan semasa, tetapi sebagai langkah proaktif membantu rakyat menghadapi perubahan landskap pekerjaan dan demografi penduduk serta keperluan kitaran hayat ahli KWSP.

Melalui inisiatif ini, kerajaan berusaha memastikan setiap ahli KWSP dapat menguruskan kewangan dengan yakin dan berdaya tahan dalam persekitaran dinamik serta mencabar ketika ini,” katanya.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata, tiada sebarang insentif atau bantuan tambahan diberikan kepada ahli yang memilih untuk memiliki amaun permulaan dengan memindahkan sebahagian simpanan Akaun Sejahtera ke Akaun Fleksibel.

“Seramai 2.93 juta ahli sudah membuat pengeluaran daripada Akaun Fleksibel, membabitkan jumlah pengeluaran RM6.98 bilion dengan purata pengeluaran sebanyak RM2,382, selain RM4.82 bilion juga dipindahkan ke Akaun Persaraan ahli.

“Inisiatif ini menunjukkan impak positif apabila berjaya menunjukkan peningkatan 39,000 ahli mencapai simpanan asas iaitu RM240,000,” katanya menjawab soalan Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar).

Menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru), beliau berkata, penstrukturan semula akaun KWSP dilihat tidak memberi kesan signifikan kepada kedudukan kewangan kerana badan itu memperuntukkan baki tunai mencukupi bagi menampung permintaan pengeluaran Akaun Fleksibel.

Show More

Related Articles

Back to top button