Selangor perlu lalui proses rayuan MFL sebelum bawa isu ke mahkamah timbang tara
PUTRAJAYA – Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam, menegaskan pasukan Selangor FC perlu terlebih dahulu mengemukakan rayuan kepada MFL sebelum membawa isu denda yang dikenakan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Stuart berkata, Selangor FC mempunyai tempoh empat hari untuk mengemukakan rayuan tersebut, dan proses penilaian rayuan itu akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga minggu sebelum MFL mengeluarkan sebarang keputusan, laporan Astro Arena.
“Berdasarkan mekanisme bola sepak, pasukan itu sedar akan proses kehakiman berkenaan, jadi mereka boleh meneruskannya,” katanya ketika sidang media.
Tambahnya, beliau tidak mahu membuat sebarang andaian tentang kiriman yang dilakukan oleh Selangor FC baru baru ini.
“Kerana mereka hanya mahukan penyelesaian, jadi mereka tidak akan meminggirkan satu penyelesaian dan menambah satu penyelesaian baru. Saya percaya Selangor memahami proses ini,” katanya lagi.
Katanya, daripada empat rayuan tersebut, badan rayuan akan meneliti proses keputusan dibuat dan jika terdapat satu atau dua perkara yang perlu dipertimbangkan semula.
Terdahulu, petang semalam pihak MFL telah mengeluarkan satu kenyataan berkaitan hukuman yang dikenakan kepada Selangor FC atas keputusan menarik diri daripada perlawanan Piala Sumbangsih pada bulan lalu.
Empat hukuman dikenakan, termasuk larangan kemasukan penonton bagi aksi menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan ke-14 liga akan datang, selain denda berupa wang dan pemotongan mata.
Perkara menjadi hangat di media sosial apabila warga bola sepak tempatan banyak menyatakan ketidakpuasan hati dan menuntut keadilan terhadap insiden yang menimpa pemain kebangsaan Faisal Halim.
Susulan itu, Selangor FC memuat naik satu kenyataan balas malam tadi bagi memberi respon terhadap hukuman berkenaan.