Pinda akta bagi bolehkan penagih dadah didekati sebagai ‘pesakit’ yang perlu dirawat – Saifuddin Nasution
Bukannya dipenjarakan sebagai penjenayah
KUALA LUMPUR – Pindaan kepada Akta Penagih Dadah 1983 adalah bertujuan menjadikan individu terlibat dengan dadah didekati sebagai klien atau pesakit, bukannya sebagai penjenayah yang perlu dipenjarakan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sekiranya pindaan akta tersebut berjaya, ia akan memudahkan lagi usaha memulihkan golongan penagih tanpa perlu menempuhi banyak karenah birokrasi.
“Pindaan akta itu nanti akan membolehkan AADK (Agensi Anti Dadah Kebangsaan) menguruskan kumpulan penagih dadah dengan lebih efektif.
“Malah kumpulan pegawai pemulihan AADK juga mempunyai kuasa menentukan penagih dadah menerima proses rawatan dan pemulihan, berbanding sebelum ini yang perlu mendapatkan kelulusan daripada patologi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya, hari ini.
Saifuddin berkata demikian dalam satu sidang akhbar selepas merasmikan majlis penutup sambutan peringatan Hari Antidadah dan majlis perasmian Simposium Sains Penagihan Dadah Kebangsaan 2024, di sini.
Hadir sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Khairul Anwar Bachok.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, kerajaan mempunyai harapan besar untuk melihat individu terlibat dengan dadah dapat dipulihkan, seterusnya memberi sumbangan kepada negara.
Menurut beliau, statistik penyalah guna dan penagih dadah di Malaysia pada 2023 adalah sekitar 145,000.
Jelas beliau, golongan muda yang berusia 19 hingga 39 tahun terjebak dengan najis dadah sekitar 90,000 orang, manakala 40 tahun ke atas sekitar 50,000 orang.
“Jika kumpulan ini tidak diuruskan dengan baik, ia akan memberi kerugian besar kepada negara.
“Untuk itu, kita berharap anjakan yang mahu dilakukan dalam Akta Penagih Dadah itu akan memberi impak besar dalam menangani masalah dadah,” katanya lagi.