Agong ingatkan hati-hati tuntut ilmu di media sosial
PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mengingatkan umat Islam di negara ini agar berhati-hati dalam menuntut ilmu di media sosial dengan memastikan kandungan yang diperoleh sahih dan berwibawa.
Bertitah pada Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan, Sultan Ibrahim bertitah, negara pada hari ini berdepan dengan cabaran kebanjiran maklumat tanpa sempadan melalui media sosial yang sukar dikawal.
Titah baginda, terdapat juga kebimbangan yang semakin meningkat mengenai penyebarsn maklumat berkaitan agama Islam yang mengelirukan, tidak tepat, salah tafsir dan ajaran yang menyimpang daripada prinsip Islam yang sebenar.
“Setiap umat islam perlu bijak menilai mana yang betul dan mana yang salah. penyebaran maklumat agama yang tidak tepat melalui media sosial boleh membawa kepada kekeliruan, perpecahan, dan amalan agama yang menyimpang.
“Jika orang dahulu belajar agama dengan membaca kitab, dan mendengar kuliyah di masjid, namun orang sekarang belajar agama secara dalam talian daripada ‘ustazah Facebook’ dan ‘ustaz TikTok’.
“Justeru itu, suka saya ingatkan kepada semua agar berhati-hati dalam menuntut ilmu agama di media sosial dan pastikan kandungan yang diperoleh adalah sahih dan berwibawa,” titah Sultan Ibrahim
Baginda bertitah pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2024/1446H yang bakal diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.
Selain itu, Sultan Ibrahim turut bertitah agar umat Islam di negara ini meninggalkan tabiat buruk dan perkara yang bertentangan dengan al-Quran.
“Marilah kita jadikan semangat hijrah sebagai landasan hidup masyarakat yang bersaudara dan bersatu-padu serta terus berusaha untuk mencapai kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan negara.
“Akhir kata, saya mengucapkan selamat tahun baharu 1446 hijrah. semoga allah subhanahu wata’ala sentiasa mengurniakan rahmat dan keberkatan untuk kita semua,” titah baginda.