Altimet tawar separuh kutipan royalti bantu Selangor FC jelaskan denda
CYBERJAYA – Penyanyi dan komposer, Altimet menawarkan separuh kutipan royalti harta inteleknya tahun ini kepada skuad Selangor FC (SFC) bagi digunakan untuk membayar denda susulan penarikan diri pasukan itu pada perlawanan Piala Sumbangsih 10 Mei lalu.
Altimet atau nama sebenarnya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya berkata, beliau sedia berbuat demikian jika SFC sudi menerima tawarannya.
“Saya akan sumbang separuh kutipan royalti harta intelek saya tahun ini untuk bayar denda ini jika SFC sudi,” katanya ringkas di laman X dengan menyertakan pautan berita berhubung hukuman ke atas Skuad Gergasi Merah itu.
Terdahulu, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam satu kenyataan semalam memaklumkan, SFC didenda RM100,000 dan dipotong tiga mata dalam saingan Liga Super 2024/2025 enggan bermain dalam perlawanan Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Skuad itu juga perlu membayar pampasan kerugian ditanggung JDT selaku pasukan tuan rumah perlawanan pembukaan musim itu dan MFL, yang mana jumlahnya akan dimaklumkan kelak.
Selain itu, perlawanan Liga Super minggu ke-14 antara Selangor dan JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya juga akan berlangsung tanpa penonton.
Selangor dilaporkan terpaksa menarik diri daripada perlawanan Piala Sumbangsih berkenaan selepas pemain bintangnya, Mohamad Faisal Abdul Halim menjadi mangsa serangan asid pada 5 Mei lalu.