Ahli bina badan meninggal dunia akibat komplikasi jantung
MIRI – Seorang ahli bina badan terkemuka, Suharwardi Dahlan, 28, telah meninggal dunia akibat komplikasi jantung sehari selepas menyertai pertandingan.
Menurut sumber, Suharwardi ditemui tidak sedarkan diri di kediamannya di Pujut Tanjung Batu, di sini pada pukul 3 pagi sebelum dikejarkan ke Hospital Miri.
Suharwardi dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan namun dipercayai telah meninggal dunia di kediamannya dahulu.
Persatuan Bina Badan Miri mengesahkan berita kematian Suharwardi melalui satu catatan di laman Facebook mereka semalam.
Persatuan tersebut dalam catatan mereka berkata, mereka telah kehilangan seorang atlet yang mempunyai masa depan cerah dalam sukan bina badan.
Tambahnya, mereka turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan agar mereka diberi kekuatan dalam menghadapi dugaan ini.
Dalam pada itu menurut sumber, kematian beliau berlaku sehari selepas membantu pasukan Miri menjuarai Kejohanan Bina Badan Sarawak Ke-58 yang diadakan di Sibu.
Katanya, Allahyarham merupakan anggota polis berpangkat Koperal dan seorang atlet yang pernah mewakili Miri dalam pertandingan Mr Sarawak 2024.