Kerajaan peruntuk subsidi tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak
KUALA LUMPUR – Sebanyak RM5.8 juta hingga RM11.4 juta bantuan subsidi diperuntukan bagi pembelian tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak sempena sambutan Hari Gawai dan Pesta Kaamatan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata subsidi itu membabitkan 17,708 tiket penerbangan sehala yang sudah dibeli kerajaan dan akan dijual tiga hari sebelum kedua-dua perayaan tersebut.
Jelasnya, tiket berkenaan akan mula dijual pada 27, 28 dan 29 Mei ke Sabah manakala 29, 30 dan 31 Mei ke Sarawak dan dijual pada harga maksimum RM300.
“Pengguna masih boleh membeli tiket pada harga yang lebih rendah sekiranya harga tiket asal itu kurang daripada RM300.
“Kerajaan beli (sebanyak 17,708 tiket) daripada syarikat penerbangan dan kita jual semua pada harga diskaun iaitu maksimum RM300,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis Hari Raya Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Stesen Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Tambah Loke, inisiatif tersebut bertujuan untuk menyelesaikan masalah harga tiket penerbangan yang mahal ketika musim perayaan dan sekiranya berjaya, ia akan dibentangkan kepada Kabinet untuk terus dilaksanakan untuk tempoh akan datang.
Mengulas lanjut, Loke berkata, harga maksimum itu tidak termasuk cukai dan fi namun dengan pembelian tiket itu, pengguna akan dilindungi mengikut Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC).
Selain itu, susulan tiket penerbangan laluan Johor Bahru-Sibu bagi tempoh tiga hari sebelum perayaan Hari Gawai habis dijual, syarikat Batik Air akan menyediakan perkhidmatan penerbangan carter dengan kekerapan sekali sehari pada 29, 30 dan 31 Mei.
Sementara itu, Loke berkata daripada 4.4 juta tiket perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan tiket KTM Intercity yang ditawarkan, 10,744 tiket ETS dan 499,323 tiket KTM Intercity telah terjual setakat jam 9 malam semalam.
“Ini membuktikan rakyat Malaysia menggunakan serta menghargai pengangkutan awam yang disediakan kerajaan, terutama perkhidmatan yang disediakan KTMB yang selamat dan selesa untuk ke destinasi masing-masing,” katanya lagi.