Berita Semasa

Pendirian UMNO sama dengan Perdana Menteri dalam penjualan sebahagian saham MAHB – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR – Kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkenaan penjualan sebahagian saham Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada BlackRock Inc
tidak mewakili UMNO secara rasmi, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, pendirian UMNO adalah sama dengan pendirian kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pendirian UMNO jelas, (iaitu) sama dengan pendirian yang dibuat oleh Perdana Menteri. Pendapat yang diberikan oleh Tok Mat adalah pendapat peribadi beliau. Saya telah jumpa beliau malam tadi dan beliau menyatakan itu hanya pandangan peribadi beliau bukan pendirian UMNO secara rasmi,” katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Perasmian Program Karisma Pemikir Madani Kepimpinan Tertinggi Pentadbiran UiTM Seluruh Malaysia di ibu negara, hari ini.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Semalam, Mohamad dilaporkan berkata, UMNO mahu Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) tidak meneruskan jualan pegangan saham dalam MAHB kepada syarikat pro-Israel, BlackRock Inc melalui Global Infrastructure Partners (GIP).

Menurut Mohamad yang juga Menteri Luar,
walaupun keputusan itu dibuat tanpa melalui Kabinet, beliau berharap keputusan itu dapat dikaji semula.

Walaubagaimanapun, Ahmad Zahid menegaskan, keputusan penjualan saham tersebut telah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet sebelum ini.

“Ada dibawa dan dibincangkan (dalam mesyuarat Kabinet) tapi tidak terperinci seperti semalam dalam mesyuarat pra-Kabinet yang dibuat kepada seluruh Ahli-Parlimen, Ahli Dewan Negara serta Menteri dan Timbalan Menteri,” katanya lagi.

Terdahulu, GIP dilaporkan berkata, pembelinya Blackrock tidak akan terlibat dalam penswastaan MAHB selepas kritikan di Malaysia, negara majoriti Islam berhubung dakwaan firma Amerika Syarikat itu dengan Israel.

Show More

Related Articles

Back to top button