‘1,301 jemaah haji meninggal dunia tahun ini’ – Kerajaan Arab Saudi
Suhu panas melampau, jemaah tidak berdaftar dikenal pasti punca angka kematian yang tinggi
MEKAH – Lebih 1,300 jemaah haji meninggal dunia tahun ini – dengan ‘banyak kes’ kematian akibat suhu panas melampau dan perjalanan ‘tidak dibenarkan’ menyumbang lebih empat daripada lima kematian.
Kerajaan Arab Saudi dalam satu kenyataan rasmi semalam berkata, sistem kesihatan negara itu menerima banyak kes suhu panas melampau tahun ini, dengan beberapa individu masih lagi menerima rawatan di pusat perubatan.
“Malangnya, jumlah kematian mencecah 1,301.
“Kira-kira 83 peratus daripada mereka yang meninggal dunia terdiri daripada individu yang ‘tidak dibenarkan menunaikan haji’ dan ‘berjalan jauh di bawah cahaya matahari langsung, tanpa tempat tinggal atau keselesaan yang mencukupi’.
“Terdapat beberapa orang tua dan pesakit kronik dalam kalangan mangsa yang meninggal dunia,” kata kenyataan itu sambil memaklumkan keluarga kesemua yang meninggal dunia telah dikenal pasti.
Cuaca panas melampau disebut sebagai faktor utama di sebalik ratusan kematian dan kecederaan yang dilaporkan dalam musim haji tahun ini .
Mekah, kota suci yang menjadi pusat bagi jemaah haji, menyaksikan suhu meningkat kepada 51.8 darjah Celsius, yang dicatat pada Isnin 17 Jun lalu.
Pelbagai pihak berkuasa juga berkata masalah itu diburukkan lagi dengan jumlah jemaah haji yang tidak berdaftar secara rasmi.
Arab Saudi mewajibkan setiap jemaah haji memperoleh permit khas untuk mengakses Mekah secara sah dengan kos beberapa ribu dolar AS.
Jemaah haji yang tidak berlesen biasanya tidak melakukan perjalanan dalam bas pelancongan yang teratur dengan penghawa dingin atau akses mudah kepada bekalan air dan makanan.
Kerajaan Saudi turut menyenaraikan kemasukan secara tidak sah jemaah menjadi faktor kenapa masa terlalu lama diambil untuk mengeluarkan angka kematian rasmi kerana ini telah merumitkan proses pengecaman.
“Proses mengenal pasti mangsa selesai walaupun pada awalnya kami berdepan kekurangan maklumat peribadi atau dokumen pengenalan. Proses yang betul diikuti untuk pengecaman, pengebumian dan penghormatan ke atas si mati dengan sijil kematian disediakan,” kata kenyataan itu lagi.