Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam: PM bawa suara rakyat Malaysia perjuang nasib warga Palestin, Lubnan
RIYADH – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di Riyadh, Arab Saudi, bagi menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam, hari ini.
Perdana Menteri berkata, fokus akan diberikan dalam membawa suara rakyat Malaysia terhadap serangan dan kekejaman berterusan rejim Zionis Israel ke atas warga Palestin dan Lubnan.
“Alhamdulillah, selamat tiba di Riyadh, Arab Saudi bagi membawa mandat dan suara rakyat Malaysia dalam Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab dan Islam yang akan memberi fokus kepada serangan dan kekejaman berterusan rejim Zionis Israel ke atas warga Palestin dan Lubnan.
“Doakan usaha Malaysia dipermudahkan demi saudara kita yang sedang ditindas, Insya-Allah,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya hari ini.
Ketibaan Perdana Menteri disambut Timbalan Gabenor Wilayah Riyadh Putera Mahkota Mohammed bin Abdulrahman, serta Datuk Bandar Wilayah Riyadh Dr Faisal bin Abdulaziz.
Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid, Riyadh, Anwar menerima penghormatan kawalan kehormat sebagai sambutan rasmi kedatangannya.
Selepas Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab dan Islam, Perdana Menteri akan kembali semula ke Kaherah bagi menyambung beberapa rencana yang telah disusun awal bersama delegasi Malaysia dan Mesir.