KBS giat promosi aktiviti sukan bagi warga emas
KLANG – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) giat berusaha menggalakkan amalan bersukan dalam kalangan warga emas.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, aktiviti sukan bukanlah terhad kepada golongan belia sahaja, tetapi terbuka kepada semua had umur termasuk warga emas.
“Malaysia mempunyai jumlah penduduk berusia yang semakin meningkat, maka kita haruslah mula merancang aktiviti bagi mereka semua.
“Jadi kita akan mulakan banyak lagi aktiviti untuk golongan warga emas dan saya gembira datang hari ini melihat pelbagai aktiviti dirancang untuk golongan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa merasmikan Majlis Pelancaran Program Senaman Warga Emas 2024 yang diadakan di sini, hari ini.
Menurut Hannah, program tersebut turut dilaksanakan di 120 buah lokasi berbeza tahun ini.
Setakat ini, pihaknya telah memulakan kelas renang percuma untuk golongan berusia yang berada di kawasan tertumpu banjir sebagai salah satu inisiatif mereka.
Beliau menyasarkan seramai 600 orang warga emas di kawasan terbabit untuk menyertai kelas itu tahun ini.
Dalam pada itu, beliau dan pihaknya kini sedang berusaha mempromosikan sukan yang sesuai bagi golongan tersebut di merata tempat.
“Pada minggu lepas, kami telah melancarkan sebuah pasukan warga emas bagi sukan E-Sports untuk mewakili Malaysia.
“Selain itu, ada juga Masters Walking Football, jadi kami meronda untuk mempromosikan semua ini.
“Saya harap orang ramai boleh mengikuti akaun Facebook kami kerana mereka akan mempromosikan sukan-sukan yang sesuai untuk semua,” katanya.