Berita Semasa

Periksa kesihatan percuma di tiga lokasi sepanjang Jun ini 

SHAH ALAM – Orang ramai dialu-alukan untuk melakukan saringan kesihatan percuma anjuran Kerajaan Negeri Selangor yang akan diadakan di tiga lokasi sepanjang Jun ini.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri, Jamaliah Jamaluddin berkata, tiga program Selangor Saring itu akan berlangsung di Dewan MPKS Bandar Baru Kuala Selangor pada 22 Jun, Pusat Khidmat Rakyat Penyelaras DUN Gombak Setia (29 Jun) dan Dewan Sri Jugra (30 Jun).

Jelas beliau, inisiatif itu menyediakan saringan kesihatan seperti pemeriksaan jantung, buah pinggang, kencing manis, darah tinggi, kanser, mata, telinga dan gigi.

“Jom ramai-ramai berkunjung ke lokasi program saringan kesihatan di kawasan Bandar Utama. Ambil peluang ini untuk melakukan saringan kesihatan percuma.

“Anda digalak membuat pra pendaftaran menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) kerana penilaian faktor risiko setiap individu melalui borang saringan awal di aplikasi tersebut,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Menurutnya lagi, orang ramai yang mengalami sebarang masalah berhubung proses pendaftaran boleh menghubungi Selcare di talian 1800226600.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari melalui pembentangan Belanjawan Selangor 2024 sebelum ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM3.2 juta bagi meneruskan saringan kesihatan percuma itu.

Program berkenaan diperkenal bagi membantu penduduk mengesan penyakit secara awal dengan menyasar individu yang mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan mengamalkan gaya hidup tidak sihat.

Show More

Related Articles

Back to top button