Jenayah & Mahkamah

Sindiket dadah guna beg galas tumpas

ISKANDAR PUTERI – Satu sindiket pengedaran dadah tempatan menggunakan beg galas tumpas selepas seorang lelaki ditahan pihak polis, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, lelaki tempatan berusia 44 tahun itu ditahan di tepi laluan keluar sebuah stesen minyak dekat Gelang Patah, kira-kira pukul 9.30 pagi, 13 Jun lalu.

Katanya, modus operandi sindiket itu membabitkan beg galas yang disyaki bertindak sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

“Suspek ditahan bersama sejumlah dadah dan semakan rekod mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan narkotik.

“Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap suspek mendapati lelaki itu negatif dadah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam operasi itu, pihaknya telah merampas kira-kira 3,057 gram atau 20 paket ganja yang bernilai RM 9,300.

Sementara itu, sebuah kereta, sebuah motosikal serta wang tunai RM90 turut disita dalam operasi sama.

Jelas beliau, kesemua rampasan dadah dan sitaan bagi operasi itu bernilai sebanyak RM105,390.

Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga esok untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Show More

Related Articles

Back to top button