PM China tiba untuk lawatan rasmi tiga hari
SEPANG – Perdana Menteri China, Li Qiang tiba di Malaysia malam tadi bagi memulakan lawatan rasmi selama tiga hari yang juga kunjungan sulung beliau ke negara ini sejak menyandang jawatan itu pada Mac tahun lalu.
Pesawat Air China yang membawa Li dan delegasi selamat mendarat di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, pada pukul 8.44 malam.
Antara yang menyambut ketibaan beliau ialah Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad.
Sejurus tiba, Li memeriksa kawalan kehormatan yang dibarisi oleh 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Infantri Istiadat) diketuai Kapten Nur Ahmad Zaim Zahari.
Lawatan beliau juga adalah bersempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China susulan pemeteraian Kenyataan Bersama antara Tun Abdul Razak dan Chou En Lai pada 31 Mei 1974.
Ketika dalam rangka lawatan ini, Li dijadual mengadakan mesyuarat dengan rakan sejawatnya, iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan hal berkaitan hubungan dua hala serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
Kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman dan persetujuan dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi digital, pembangunan hijau, pelancongan, perumahan dan pembangunan urbanisasi, pendidikan tinggi, sains dan teknologi serta pengeksportan agrikomoditi ke China.
Anwar dan Li akan turut menghadiri majlis makan malam bagi menyambut ulang tahun ke-50 hubungan dua hala Malaysia-China.
Perdana Menteri China itu juga dijangka menghadiri majlis pecah tanah Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Gombak dan makan tengah hari bersama komuniti perniagaan dari kedua-dua negara.