
Kerajaan sedang menimbang pemberian subsidi menerusi pindahan tunai – PM Anwar
KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang menimbang melaksanakan pemindahan tunai sebagai satu pendekatan pemberian subsidi kepada rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu adalah bagi mengelakkan berlakunya ketirisan dan memanfaatkan warga asing.
Bagaimanapun, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pemberian secara pindahan tunai itu tidak boleh dilaksanakan untuk semua perkara, sebaliknya hanya beberapa urusan tertentu sahaja.
“Pendekatan sama ada secara langsung (pemberian subsidi) kepada rakyat melalui pindahan tunai, memang difikirkan dalam beberapa isu, yang ini kita akan umumkan lebih besar,” kata beliau ketika sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat, di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang ingin tahu sama ada kerajaan terbuka melaksanakan pemberian subsidi secara terus kepada rakyat menerusi pindahan tunai bagi mengelak sebarang ketirisan dalam pemberian subsidi.
Sementara itu, menjawab soalan sama ada dasar pemberian susbsidi bersasar itu akan memberi implikasi terhadap negara luar untuk menghantar pekerja asing ke Malaysia, Anwar berkata, kerajaan mempunyai dasar atau prinsip berkait subsidi supaya ia diberikan secara munasabah dan adil.
“Saya fikir pekerja asing datang sini untuk dapat gaji, bukan untuk dapat subsidi. Kita pun ada dasar supaya beri yang munasabah dan adil kepada semua termasuk bukan warganegara, tetapi tidak pula harus mana-mana negara beri subsidi kepada warga asing,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |