Berita Semasa

Bekas timbalan pendakwa raya peguam baharu keluarga ibu bapa Zayn Rayyan

KUALA LUMPUR – Tugas pembelaan kedua ibu bapa Zayn Rayyan kini diambil alih oleh penguam Fahmi Abd Moin, selepas peguam terdahulu, Mahmud Jumaat menarik diri dari kes tersebut.

Fahmi yang merupakan bekas timbalan pendakwa raya semalam mengesahkan akan mewakili ibu bapa kanak-kanak austistik yang mati dibunuh pada Disember tahun lalu.

Pelantikan itu dibuat oleh pihak keluarga ibu bapa Zayn dan akan memulakan prosiding di mahkamah pada Jumaat ini.

Semalam, peguam yang mewakili ibu bapa Zayn Rayyan, Mahmud Jumaat dari Tetuan Emir Mahmud & Co mengumum menarik diri daripada kes tersebut.

Sebelum ini, Mahmud dilantik keluarga ibu bapa Zayn Rayyan selepas pasangan berusia 28 tahun itu ditahan polis di kediaman keluarga mereka di Puncak Alam Jumaat lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, ibu bapa kanak-kanak terbabit direman seminggu bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada 6 Disember lalu, mayat Zayn Rayyan ditemui di saliran air kira-kira 200 meter dari rumahnya dengan kesan cedera pada leher dan badan.

Mangsa kemudian disahkan dibunuh berdasarkan hasil bedah siasat.

Sehari sebelum itu, polis mengesahkan pihaknya menerima laporan kehilangan kanak-kanak terbabit pada jam 6.30 petang oleh keluarganya.

Show More

Related Articles

Back to top button