Kes Allahyarham Zayn: Polis panggil pengasuh, ahli keluarga beri keterangan
PETALING JAYA – Pengasuh kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin serta dua ahli keluarganya hari ini hadir ke IPD Petaling Jaya di sini, bagi memberi keterangan berhubung siasatan kes pembunuhan kanak-kanak malang itu.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, lapor portal Buletin TV3.
“Ya. Polis ambil keterangan tiga individu iaitu pengasuh dan dua ahli keluarga dia termasuk ibunya. Beberapa saksi lain juga mungkin akan dipanggil sekiranya ada keperluan untuk membantu siasatan,” katanya.
Terdahulu, pengasuh berkenaan, Auni Afiqah Abas, 28 tahun, dilihat memasuki pekarangan bangunan IPD sekitar pukul 11.26 pagi tadi dengan menaiki Perodua Alza putih.
Jumaat lalu, ibu bapa Allahyarham Zayn ditahan di sekitar Puncak Alam pada pukul 10.05 pagi oleh pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.
Kedua-dua mereka kemudiannya direman selama tujuh hari di Mahkamah Majistret Petaling Jaya di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Semalam, Hussein Omar berkata, pihaknya turut merampas telefon bimbit ibu dan bapa mangsa bagi membantu siasatan.
Kes pembunuhan Allahyarham Zayn menyentuh banyak pihak, kerana keadaan mangsa yang autistik dan keadaan jenazahnya ditemukan.
Allahyarham Zayn ditemukan orang ramai sudah meninggal dunia di sebatang anak sungai berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada pukul 10 malam pada 6 Disember tahun lepas.
Mangsa sebelumnya dilaporkan hilang oleh ibunya.
Polis kemudiannya mengesahkan Allahyarham dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat yang menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuhnya.